Adds

Saturday, May 31, 2014

Malaysia sebagai hab halal dunia VS Dasar Agromakanan Negara VS ETP


Saya memulakan penulisan ini dengan memetik berita dari akhbar utusan yang bertarikh 28 Jan 2013 bahawa ‘Pelaksanaan Akta Perihal Dagangan 2011 yang berkuat kuasa tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai hab halal dunia menunjukkan perkembangan positif berikutan Malaysia terus mendapat pengiktirafan dunia dalam bidang tersebut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pada masa ini industri halal negara berkembang pesat selepas turut menjadi rujukan untuk sijil halal dunia.’

Apa yang anda faham mengenai Hab Halal? Hab Halal dalam erti kata mudah sebagai pusat rujukan standard halal yang mengikut piawaian yang di tetapkan JAKIM.

‘Objektif Bahagian Hab Halal JAKIM adalah untuk mengkaji, mengesah, mengawal selia serta memantau produk makanan dan barangan pengguna Islam agar lebih terjamin kesucian, keselamatan dan halal secara lebih efisien dan efektif. Fungsi pengesahan halal dewasa ini lebih bersifat komprehensif meliputi logistik, gudang penyimpanan dan pemasaran terhadap produk dan barangan yang bakal dipasarkan dapat menyakinkan pengguna bahawa produk atau makanan tersebut bersih, selamat serta suci digunakan.’ Rujukan dari Muka Surat 18, Buletin Halal JAKIM, Bil. 8 Dis 2009.

Ini adalah satu penanda aras yang baik bagi sebuah Negara Islam yang membangun kerana diiktiraf dunia, bukan sahaja Negara berstatus Negara Islam juga Negara Bukan Islam. Saya sangat berbangga dengan pencapaian ini namun ada beberapa perkara yang ingin saya bangkitkan.

Antara yang menjadi pertikaian saya adalah sejauh mana Negara kita menjadi pengeluar makanan Halal?
Saya hanya bercakap mengenai  bahan mentah untuk memasak yang diperoleh setiap hari di pasar. (tidak termasuk makanan proses seperti kicap,sos, dan lain-lain.). Bahan mentah yang selalu di beli di pasar ialah sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan makanan laut, tepung, gula, beras, santan kelapa, telur, susu segar dan daging (ayam, itik, puyuh, kambing, lembu, bebiri, kerbau, dan babi). Bila disenaikan jenis bahan mentah tersebut, yang menjadi fokus Halal pengguna mestilah produk daging , kerana daging sahaja yang melalui proses penyembelihan yang menentukan daging tersebut halal atau pon tidak. Tidak seperti bahan mentah lain yang sememangnya halal dan tidak perlu alaman penyembelihan.


Saya pergi kepada sumber bahan mentah daging. Untuk memastikan Negara mengeluarkan bahan mentah halal iaitu daging halal, kita perlulah mempunyai ladang ternakan yang berskala besar yang mampu menampung kadar sara diri (self-sufficient)  dalam Negara.  Setakat ini ternakan yang menampung kadar sara diri hanyalah ternakan Babi dan Poltri (ayam dan itik), tolak ternakan babi yang tidak halal, yang tinggal hanyalah ternakan Poltri (ayam dan itik) yang kebanyakkan ladang ternakan ini dikuasai mereka yang bukan muslim. Adakah ternakan ini akan disembelih dengan kaedah Halal yang sebenar? Biarkan persoalan ini JAKIM dan rumah sembelihan yang menjawab, sebagai pengguna kita boleh memeriksa rumah sembelihan halal di laman web ini (http://www.halal.gov.my/ehalal/directory_standalone.php?type=S&cari=a) sekiranya anda golongan yang benar-benar mementingkan sumber kesahihannya, jika tidak beli tanpa rasa was-was di pasar borong rumah anda. Mengenai harga ayam segar yang ketidaktentuan harga, saya akan menceritakannya di penulisan yang lain.


Berbalik semula kepada ternakan yang tidak mencapai tahap sara diri iaitu ternakan lembu,kerbau kambing dan biri-biri. Apa sudah jadi? Sepanjang pembelajaran teori di UPM mengenai ternakan di Malaysia, boleh saya katakan bahawa industri ternakan kita sudah tertidur 30 tahun dari industri ternakan dunia. Ini disebabkan oleh kita terlalu bergantung harap dengan pengimportan ternakan dari negara India dan Australia. Bila di isu kekurangan bekalan daging di musim perayaan, pihak kementerian dengan bangganya menjawab ‘jangan bimbang,kita akan mengimport...’. Soalnya sampai bila?


Petikan akhbar (“Dua jenis daging di pasaran ialah daging segar dan daging import. Bagi bekalan daging import, kita tidak berdepan masalah kekurangan bekalan kerana sudah ada perjanjian antara negara pengimport.“Mengenai bekalan daging segar ini, kerajaan mengenal pasti negara pembekal baharu, selain mendapatkan bekalan dari Thailand dan India serta meningkatkan bekalan dari Australia bagi memenuhi permintaan tempatan,” katanya.)



Rujuk artikel tiada krisis bekalan daging menjelang raya ini






Apa masalahnya dengan pengimportan daging? Masalahnya kita terlalu bergantung harap kepada negara pembekal ini dan tidak menjamin bekalan makanan negara. Jangan sampai satu ketika semua negara pengimport berada dalam keadaan bencana, peperangan, penyakit berjangkit haiwan yang kronik lalu memutuskan “no more” “tiada lagi ternakan import untuk anda MALAYSIA”, pada saat itu walau negara mempunyai wang yang banyak sekalipun kita tidak akan mampu menghasilkan haiwan ternakan yang cukup. Satu lagi masalah pengimportan daging ialah penternak tempatan tidak mampu bersaing dengan harga daging sejuk beku import yang lebih rendah berbanding dengan daging segar tempatan. 


Manipulasi Logo Halal dengan daging segar import.



Dengan menjadi hab halal dunia, negara lebih tertumpu dengan meningkatkan ekonomi negara dengan menjadi pengeksport makanan halal kepada negara luar, bagaimana caranya? Mudah, dengan adanya pengiktirafan Halal yang diyakini dunia, negara hanya mengimport daging segar dari luar, membuat pembungkusan semula atau membuat pemprosesan dari daging tersebut dan memasarkan kepada negara timur tengah yang mempunyai pasaran yang lebih luas dengan nilai pasaran yang lebih tinggi. Dari sudut ekonomi perkara ini amat baik dengan mengambil peluang yang ada, namun dari sudut pengembangan industri ternakan negara perkara ini adalah satu perbuatan yang ‘menganaktirikan’ rakyat sendiri. Mengapa kita tidak sendiri mengembangkan Industri Ternakan dalam negara, setelah melepasi paras sara diri lalu lebihan itu dieksport ke luar. Kerana tumpuan harus diberikan kepada sumber bekalan makan negara dahulu, baharulah kita fikirkan soal pengeksportan makanan melalui hab halal negara.

Baiklah bila saya menceritakan mengenai kekurangan bekalan makan, tumpuan diberikan kepada Dasar Agromakanan Negara (2011-2020), Bab 5 – Mengembangkan Industri Ternakan


Petikan ringkasan eksekutif (MENGEMBANGKAN INDUSTRI TERNAKAN - Pengeluaran daging diunjurkan meningkat kepada 2.1 juta pada tahun 2020. Begitu juga dengan pengeluaran telur dan susu yang masing-masing diunjurkan meningkat kepada 773 ribu tan metrik dan 118 juta liter. Penternakan ruminan akan diusahakan ke tahap sederhana dan besar dan ditumpukan di Kawasan Tumpuan Sasaran, Pusat Fidlot Nasional dan ladang satelit selain penternakan integrasi di ladang kelapa sawit swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan. Tumpuan diberikan kepada pengeluaran baka berkualiti serta penerapan amalan penternakan intensif dan sisa sifar. Kawasan penternakan bukan ruminan pula akan dikekalkan dan dimantapkan dengan penggunaan teknologi moden dan amalan penternakan baik. Pengeluaran bahan makanan ternakan akan ditingkatkan melalui penyediaan insentif dan aktiviti R&D. Kawalan penyakit akan diperkukuh melalui program pemvaksinan dan pengawasan, pewujudan zon bebas penyakit serta kerjasama dengan pengamal veterinar swasta. Amalan penyembelihan selamat pula akan diperluas melalui loji penyembelihan berpusat di bandar dan memberhentikan secara berperingkat amalan penyembelihan kecil-kecilan di pasar basah dan luar bandar. Bagi menggalakkan pertumbuhan industri, pengimportan hasilan ternakan akan diselaraskan dengan mengambil kira prosedur perdagangan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia. Pusat edaran dan lelongan akan ditubuhkan serta teknologi komunikasi akan dimanfaatkan sebagai sumber maklumat pasaran. Pembangunan industri ternakan yang lebih tersusun akan diselaraskan di bawah sebuah agensi baru.)



Dasar ini lengkap menceritakan proses bagaimana semuanya harus berjalan.

Anda boleh muat turun dan baca dengan lengkap di (http://www.fama.gov.my/dasar-agromakanan-negara-2011-2020-dan-#.U4lZzvmSySp)


Selari dengan Dasar Agromakanan Negara, Program Transformasi Ekonomi turut menggariskan 3 Entry Point Projek (EPP)  yang berkaitan industri ternakan iaitu



1.) EPP 5 - Menternak lembu secara integrasi di estet Kelapa Sawit syarikat GLC (government link company) dengan penyewaan tanah mereka. EPP 5 ini di bawah MPOB atau Lembaga Minyak Sawit Malaysia.  

2.) EPP 12 - Memperkukuh syarikat ternakan secara fidlot dengan meningkatkan bilangan penternak kecil fidlot dan di naungi oleh satu syarikat utama fidlot negara dengan sasaran kapasiti sebanyak 240000 ekor. EPP 12 ini di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar. 



3.) EPP 16 - Pelaburan dalam penternakan lembu di luar negara. EPP 16 dapat di capai dengan 4 lokasi penternakan di luar negara yang boleh memastikan kestabilan bekalan lembu baka induk, lembu tenusu dan lembu fidlot cukup. EPP 16 ini dapat di capai dengan sokongan GLC dan pelaburan yang mencukupi.



Soalan saya satu sahaja kepada Pihak berwajib iaitu kepada Kementerian Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Kelapa Sawit Malaysia - MPOB, dan Estet GLC.